Labels

Monday, August 29, 2016

Sifat Allah Ya Baari'


ALLAH Ya Baari’ Yang Maha Merancang dan Mengatur kejadian alam dan diri. DIA merancang kehidupan manusia dan perjalanan seluruh makhluq di dunia ini. Perancangan dan pengaturanNYA sangat hebat dan sempurna. Manusia sering gagal melihat perancangan dan aturan ALLAH yang menyebabkan mereka merosakkan perancangan ALLAH dengan perancangannya yang penuh dipengaruhi nafsu dan bisikan syaitan sehingga merosakkan alam dan kehidupan.

Menghayati Al-Baari’ melahirkan hamba yang menyerah diri mengikut perancangan, aturan dan agenda ALLAH. Membiarkan diri mengikut agenda ALLAH akan melahirkan kehidupan yang tenang dan bahagia tanpa kecewa dan derita. Agenda ALLAH Ya Baari penuh dengan kesempurnaan, ketaatan dan kebaikan. Sebailknya agenda manusia sering dipenuhi kepentingan diri dan nafsu. 

Menghayati Al-Baari juga akan melahirkan manusia yang berperancangan, tidak terburu-buru dan tergesa-gesa. Sentiasa merancang untuk kebaikan dan perubahan ke arah kebaikan dan kecemerlangan, tidak putus asa dan mudah kecewa.

Zikirlah Ya Baari 40x setiap kali sebelum memulakan sesuatu urusan , mahupun setiap masa . 

diikuti dengan bicara hati kepada Ya Baari': 

" Allahumma Ya Baari' Yang Maha Mengatur, sesungguhnya alam buana ini bergerak dengan aturanMu, Dikau mengatur pergerakan bulan, bintang dan matahari, planet bergerak di atas orbitnya dengan aturanMu, Dikau juga mengatur perjalanan hidup manusia, dari kelahiran hingga kepada kematian, setiap peristiwa yang datag dalam hidupku semuanya diatur olehMu satu persatu, samaada kesenangan maupun kesempitan, kejayaan maupun kegagalan, kesihatan maupun kesakitan, kenaikan maupun kejatuhan, kemuliaan maupun kehinaan, semuanya itu diatur olehMu. Dikau juga mengatur perjalanan hidup ku di Mahsyar, di hari perhitungan, hari hisab, mahkamah Mu di akhirat dan ketika melalui titian sirat. Ya Allah, daku mohon agar Dikau aturkan perjalanan yang baik dan yang Dikau redhai dalam setiap saat hidupku di dunia ini dan di akhirat nanti. Janganlah Dikau biarkan daku mengatur sendiri hidupku mengikut nafsuku untuk kepentingan diri sendiri, tetapi aturlah Ya Baari' hidupku seperti kehidupan Rasulullah SAW, yang mana setiap saat hidup Baginda, memberi kasih sayang kepada orang sekeliling, memberi ilmu dan bimbingan menuju syurgaMu, agar di akhirat nanti dalam perjalanan di akhirat dapat ku menumpang kenderaan Baginda yang lajunya lebih laju dari cahayaMu."

Aamin

Monday, August 22, 2016

Sifat Allah Ya Khaliq


Mengenali nama Allah Ya Khaaliq, Yang Maha Mencipta. Seluruh tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan bumi dan seluruh isinya adalah ciptaanNya. CiptaanNya memaparkan kehebatan Ya 'Adzim yang melayakkan Dia diagung2kan. Matahari itu ciptaanNya untuk memancar cahaya Ya Nuur. Dengan cahaya itu Allah Ya Muhyi menghidupkan bumi dan seluruh isinya. Dengan cahaya Ya Nuur tadi, mata manusia dapat melihat keindahan ciptaan Ya Khaaliq
Ya Baadi'. 

Ya Khaliq mencipta jutaan bintang di langit bagi membuktikan kehebatanNya yang tiada siapa dapat menandingikan. Ya Khaaliq juga mencipta setiap sesuatu di bumi, manusia, binatang, tumbuhan, bukit bukau, emas, perak, besi, bahan galian, dan lain2 untuk kegunaan kehidupan manusia. Allah Ya Khaaliq juga mencipta alam yang ghaib, syurga, neraka, timbangan amal, mahkamah Allah, titian sirat untuk memberi ganjaran setimpal kepada hamba beriman dan azab setimpal. 

Allah juga mencipta pelbagai peristiwa dalam hidup manusia untuk manusia mengenal Allah agar merasa kasih kepadaNya, kagum kepadaNya dan gerun kepadaNya. Ya Khaaliq Ya Basith mencipta kelapangan agar hambaNya kasih kepadaNya, Ya Khaaliq Ya Qobidh mencipta peristiwa kesempitan agar hambaNya gerun kepadaNya. Ya Khaaliq Ya Baadi' menciptaan keindahan alam agar manusia mengkagumi dan memuji Allah. Allah Ya Khaaliq Ya Zohir mencipta teknologi agar manusia dapat menerokai alam ciptaanNya dan mengenaliNya.

Ya Khaaliq mengalirkan daya rekacipta ke dalam otak manusia agar manusia dapat melaksana tugas khalifah dalam mengurus alam ini dengan mencipta pelbagai produk dan kaedah, formula dll agar manusia dapat hidup sejahtera dan dapat memuji Allah dan beribadah kepadaNya

Penghayatan kepada sifat Al-Khaaliq akan menjadikan manusia suka mencipta perkara dan idea baru, sentiasa membuat perubahan ke arah kebaikan dan memikirkan teknik dan kaedah baru yang tidak pernah difikirkan oleh orang lain. Mereka tidak mengenal putus asa dan kecewa kerana bergantung penuh dengan Ya Khaaliq.

Zikirkan Ya Khaaliq 40x 

dan bicara hati kepada YA Khaaliq :

"“Ya ALLAH Ya Khaaliq, kurniakanku sedikit daya reka ciptaMU agar daku dapat mencipta perkara-perkara baru untuk kesejahteraan manusia”.

Aamin

Monday, August 15, 2016

Sifat Allah Ya Mutakabbir


ALLAH Ya Mutakabbir Yang Maha Memiliki Kebesaran. Seluruh kebesaran di atas dunia ini adalah milikNYA seperti gelaran kemuliaan dan jawatan. KebesaranNYA juga membawa erti DIA zat yang Maha Besar yang kebesaranNYA meliputi kebesaran alam ini. Manusia dan alam semesta sangat kerdil berbanding dengan kebesaran ALLAH.

Menghayati Al-Mutakabbir akan menjadikan manusia sedar akan kekerdilan diri, tidakmenyombong diri, sentiasa merendah diri dan menginsafi diri. Hamba Al-Mutakabbir akan bergantung penuh kepada ALLAH dalam setiap yang dilakukan dengan menyedari akan kedhaifan dan kekurangan diri. 


Hamba Al-Mutakabbir juga menggunakan kebesaran ALLAH untuk mencapai kemuliaan dan keyakinan diri dalam kehidupan dalam menjalankan tugas penghambaan dan khalifatullah di dunia ini.

Zikirlah Ya Mutakabbir 40x 

dan terus berbicara hati dengan Allah Al Mutakabbir:

" Allahumma ya Mutakabbir, ya Mutakabbir, ya Mutakabbir, sesungguhnya Dikau Maha Memiliki Kebesaran, alam ini menceritakan kebesaranMu, Dikau mencipta makhluq, manusia dan peristiwa agar manusia membesar-besarkanMu. Dikau layak dibesar-besarkan kerana Dikaulah Ya Khaliq Ya Baari' Ya Musowwir yang mencipta, mengatur dengan penuh kreatif seluruh alam dan isinya. Hatta kenderaan dan telefon yang canggih ini adalah ciptaanMu bukan ciptaan Jepun atau Korea, Dikau Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid yang memasukkan idea, ilmu dan kreativiti di dalam otak manusia, sesungguhnya otak manusia buntu tanpa ilmuMu, dengan itu Dikaulah layak dibesar-besarkan. Ya Mutakabbir, daku insaf bahawa diri sangat kerdil, untuk membuka kelopak matapun tiada daya ku apatah lagi untuk menguruskan makhluq dan kehidupanku, maka bantulah daku hambaMu yang dhaif ini dalam kehidupan ini. Walau apapun yg Dikau kurniakan bagi diriku, itu semua milikMu, harta itu milikMu Ya Ghoni Ya Mughni, jawatan serta gelaranku adalah kurniaanMu Ya Kabir, Ya Mutakabbir, Ya 'Aliy, Ya Muta'ali, Ya Adzim, suami, isteri, anak-anak adalah milikMu ya malik, kecantikan itu milikMu Ya Baadi' , seluruh anggota tubuh badanku milikMu Ya Malik, daku hanya peminjam sementara, dengan itu Dikaulah yang layak dibesar-besarkan, daku hambaMu hanya ciptaanMu yang sangat kerdil..".

Aamin.

Tuesday, August 9, 2016

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
(Al-Hasy-r 59:22)

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.

(Al-Hasy-r 59:23)

Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.
(Al-Hasy-r 59:24)

Monday, August 8, 2016

Sifat Allah Ya Jabbar


ALLAH Ya Jabbar Yang Maha Memaksa, yang kehendakNYA tidak dapat diingkari oleh sesiapa pun. PemaksaanNYA tanda kasihsayangNYA kepada hamba-hamba pilihanNYA kerana manusia sering lupa dan lalai. Hanya dengan pemaksaan dan kehendakNYA manusia akan ingat kepada ALLAH ketika diri lalai. 

Menghayati Al-Jabbar akan menjadikan manusia syukur dan redha atas setiap kehendakNYA dan pemaksaanNYA kerana kehendak ALLAH itu tanda kasih sayangNYA dan kerana ingin menyelamatkan manusia daripada kemungkaran dan kemurkaan ALLAH. Seringkali manusia disempitkan rezekinya atau diberikan ujian kesakitan dan kehinaan kerana ingin manusia ingat dan insaf setiap kesalahannya dan kembali ke jalan yang benar.


Zikirlah Ya Jabbar 40x

Mari kita merasa gerun kepada Allah dengan NamaNya Ya Jabbar. Bicaralah kepadaNya: 

"Ya Allah Ya Jabbar, Ya Jabbar Ya Jabbar, sesungguhnya Dikau Maha Pemaksa, sekiranya daku tersasar dari jalan kebenaranMu, Dikau memaksaku kembali dengan sedikit ketegasanMu kerana kasihMu kepadaku. Ketika daku bersantai-santai di dunia ini sedangkan mahligai syurga belum terbina dan jurang neraka sudah terbuka, Engkau Ya Jabbar menarikku untuk sujud kepadaMu dengan peristiwa-peristiwa yang memaksaku terpisah dengan dunia dan manusia, peristiwa kesakitan, bangkrup, perpisahan, kemiskinan dan pelbagai peristiwa yang Engkau Ya khaliq Ya Baari' Ya Musowwir ciptakan agar daku hampir kepadaMu Ya Rahman Ya Rahim. Ketika mataku asyik menonton tv dan video yang melalaikan, Dikau Ya Jabbar mengambil penglihatanku agar ianya tidak terkena kotoran dosa. Ketika pendengaran ini sering mendengar umpat keji dan perkara dosa dan syirik, Dikau Ya Jabbar mengambil pendengaranku agar ianya tidak dikotori. Ketika kaki ini begitu malas ziarah menziarah tapi bermalasan, DIkau Ya Jabbar mengambilnya agar daku ada masa berdamping denganMu. Ketika hati ini kosong dari cintaMu Ya Wadud, DIkau Ya Jabbar memaksaku untuk mencintaiMu dengan perpisahan dan perceraian dengan makhluq. Ketikaku lupa kematianku mungkin akan datang esok hari, Dikau Ya Jabbar memaksaku untuk membuat persiapan menghadapinya dengan pelbagai peristiwa penyucian bagi hatiku yang kotor ini. Terima kasih Ya Allah Ya Jabbar kerana kasihMu Ya Rahman Ya Rahim Ya Wadud, maafiku kerana tidak mampu memaksa nafsuku untuk tunduk kepada Mu..".


Monday, August 1, 2016

Sifat Allah Ya 'Aziz


ALLAH Ya ‘Aziz bermaksud Yang Maha Perkasa. ALLAH lebih perkasa daripada seluruh makhluq di dunia ini. KeperkasaanNYA dapat dilihat dalam penciptaan langit dan bumi serta makhluqNYA. DIA perkasa dalam menguasai setiap makhluqNYA seperti matahari, bulan, bintang, binatang gunung serta manusia. 

Seluruh keperkasaan makhluqNYA samada manusia, binatang dan sebagainya adalah keperkasaanNYA. DIA juga mampu memperkasakan jiwa manusia agar cekal dan tabah dalam menghadapi ujian kehidupan.


Menghayati sifat Al’Aziz akan melahirkan manusia yang kuat semangat dalam mengharungi kehidupan, tidak mudah putus asa ketika kecewa dan berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Hamba Al-‘Aziz akan menguatkan jiwa-jiwa yang lemah dan kecewa agar tabah menghadapi ujian dan dugaan hidup. DIA yakin semakin diuji semakin cinta ALLAH kepadaNYA dan DIA akan redha dan sabar atas ujian itu. 

Zikirkanlah Ya 'Aziz 40x 

diikut dengan bicara hati kepada Ya 'Aziz:

"Alllahumma Ya Aziz Yang Maha Perkasa, sesungguhnya seluruh keperkasaan dan kekuatan di alam buana ini adalah milikMU, tiada makhluq yang perkasa, berputarnya alam dan isinya dgn daya keperkasaanMU, bergeraknya planet-planet di atas orbit, memancar matahari, tegaknya langit, terhamparnya bumi, bergeraknya awan, semuanya dengan daya keperkasaan dan kekuatanMU Ya Aziz, seketika Dikau mencabut kekuasaan ini, lemah dan hancurlah alam ini. Sebagaimana perkasanya alam ini, Ya Aziz, perkasakan jiwa kami yang lemah ini, seringkali kami lemah ketika gagal dan kecewa dalam hidup ini, kami lemah dengan kata-kata dan cemuhan manusia, seringkali lemah ketika diberi tugasan dan agendaMU, lemahnya jiwa kami untuk rukuk sujud kepadaMU, khususnya di pagi-pagi hari, lemahnya kami dalam mengawal nafsu shopping, nafsu berborak, menonton tv, whatsapp, mengejar kekayaan dunia yang hina ini, maka Allahumma Ya Aziz, perkasa dan kuatkan iman kami kepadaMU, pergantungan kami kepadaMU, keyakinan kami kepadaMU agar kami hidup dengan pergantungan yang kukuh kepadaMU dan Ya Baaqi Ya Mukmin Ya 'Aziz, kekalkan kekuatan iman kami sehingga akhir hayat kami". 

Aamiin.