Labels

Tuesday, May 31, 2016

Sifat Allah Ya Quddus


Mengenali nama ALLAH Ya Quddus Yang Maha Suci. Ini bererti ALLAH suci, bersih atau sempurna dari segala kesalahan, kecacatan atau kekurangan. Penciptaan langit dan bumi membuktikan kesempurnaan penciptaanNYA dan kekuasaanNYA.

Al-Quddus juga membawa makna mempunyai pekerti yang sangat mulia diliputi dengan kasih sayang tanpa kebencian.

Penghayatan Al-Quddus dalam diri dengan menyucikan jiwa daripada sembahan-sembahan lain daripada ALLAH (hawa nafsu, bisikan syaitan, dunia, kata-kata manusia). 


Menyucikan jiwa daripada penyakit-penyakit hati (dendam, benci, mengumpat, menghasut dan lain-lain). 

Menyucikan hidup daripada dosa dan noda, serta menyucikan mulut, telinga, mata, anggota tubuh dan sebagainya.

Zikirkanlah Ya Quddus 40x

diikuti dengan bicara hati kepada Ya Quddus: 

“Allahumma Ya Quddus, Ya Quddus, Ya Quddus, sesungguhnya Dikau Yang Maha Suci lagi Maha Sempurna, setiap yangg berlaku itu adalah atas kehendak dan takdirMu Ya Qodir Ya Muktadir yang melambangkan kesucian dan kesempurnaanMu, kurniaan dan kasihsayang serta pemeliharaanMu melalui pelbagai peristiwa yg bersilih ganti antara kesempitan dan kesenangan, antara kejatuhan dan kenaikan, antara kemuliaan dan kehinaan, adalah tanda kesempurnaan sifat pemurah dan penyayangMu Ya Quddus Ya Rahman Ya Rahim, kesempurnaan kebijaksanaan Mu Ya Quddus Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kesempurnaan kekuasaan Mu Ya Quddus Ya Qodir Ya Muktadir Ya Aziz Ya Jabbar Ya Mutakabbir. Allahumma ya Quddus Yang Maha Suci lagi Maha Sempurna, tindakanMu sangat tepat, tidak pernah tersilap, tepat pada masanya, caranya dan kesannya, sekiranya daku lemah, Dikau memberiku kekuatan dangan peristiwa yang memaksa diriku bergerak dengan kuat dan laju, Dikau tidak akan membiarkan daku terleka dan terlalai dalam dunia yang fana ini. Sekiranya daku terleka dengan hartabenda dunia dan cinta manusia yang menyekat dan mengikat ku daripada datang hampir kepadaMu, Dikau Ya Quddus seringkali memisahkan dan memutuskan dunia dan manusia agar hati ini merdeka daripada makhluq, dapat kembali mengabdi diri kepadaMu. Ketika daku tersasar ke jalan neraka, Dikau Ya Quddus mencipta peristiwa2 mengembalikan daku ke jalan syurga. Sesungguhnya tiada peristiwa yang berlaku kepada ku melainkan tanda kesempurnaanMu Ya quddus, Setiap kehendak dan takdirMU terhadap diriku adalah tanda kesempurnaanMU dan kesemuanya baik bagiku”.

Aamiin

Saturday, May 28, 2016


Ustazah Noorulhafidzah:
Assalamualaikum.
Surah Al Isra' ayat 110: "...serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yg mana saja kamu ingin seru kerana Dia (Allah) mempunyai Asmaul Husna..."
Allahumma ya Baari' agendakan kami utk terus menyebut nama-nama-Mu yg mulia pada waktu lapang kami, waktu sempit kami, dalam sujud, dalam rukuk, ketika kami bekerja, memasak, menjahit, memandu, mengajar dsbnya. Ya Allah Ya Latif lembutkan lidah kami basahi lidah kami dengan zikrullah iaitu zikir mengingati-Mu kerana Kau mempunyai 99 Nama yang Mulia untuk diseru, agar hati ini sentiasa hidup dan berhubungan denganMu Ya Khaliq Ya Rahman Ya Rahim, Tuhan yang mencipta kami dgn penuh kasih dan sayang.

Wednesday, May 25, 2016

Sifat Allah Ya Malik


Penghayatan Nama ALLAH Ya Malik Yang Maha Memiliki. ALLAH memiliki seluruh isi langit dan bumi secara mutlak. Dan DIA memiliki diri kita, tubuh badan kita, anak-anak kita, suami/isteri kita. DIA boleh memberi dan mengambil apa sahaja daripada manusia pada bila-bila masa. Tiada siapa yang mampu menghalang sekiranya ALLAH Ya Malik ingin memberi atau mengambil, setiap pemberian adalah amanah dan pinjaman dan akan ditanyai semuanya.


Menghayati sifat Al-Malik membuatkan seseorang sedar dirinya bukan pemilik dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan setiap amanah yang diberikan ALLAH dan menjaga anugerah ALLAH sebaik mungkin. 

Penghayatan kepada sifat Al-Malik juga membolehkan manusia menggenggam dunia dan bertindak memastikan dunia tunduk kepada Al-Malik. 

Dengan itu, setiap kerjanya, tugasannya dan perlakuannya menjurus kepada menjadi alat Al-Malik, mentadbir manusia ke jalan ALLAH. Menghasilkan modul-modul, produk-produk, silibus-silibus, sekolah-sekolah, pusat-pusat latihan yang ditadbir oleh alat-alat Al-Malik. Dunia akan menjadi aman apabila semuanya mampu tunduk kepada Al-Malik. 

Tidak ada seorang pun yang dapat mendakwa diri sebagai penguasa tertinggi. Tugas pemerintah mewujudkan rasa aman, damai, sejahtera dan bahagia kepada saudara-saudaranya.

Zikirlah Ya Malik 40x 

diikuti dengan bicara hati kepda Ya Malik: 

" Allahumma Ya Malik, Ya Malik, Ya Malik, sesungguhnya Dikau Yang Maha Memiliki dan Berkuasa di atas segalanya, daku ini milikMu, jantung ku milikMu, Dikaulah Ya Muhyi yang mendegupkannya dan Dikau juga mampu menghentikannya. Otakku dan ilmu dalam otak ini milikmu Ya malik Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, Dikau yang memasukkannya dan Dikaulah juga mampu mengeluarkankannya. Wang ringgit yang ada padaku milikMu, Dikau memberi dan Dikau mampu mengambilnya kembali. Suamiku, isteriku, anak-anakku, ibubapaku, kawan-kawanku milikMu, Dikau memberi pinjam dan Dikau juga mampu mengambil mereka. Segalanya milikMu Ya Malik, matahari, bulan, bintang dan planet2 di angkasaraya semuanya milikMu ya Malik, Dikau Ya Baari' mengatur perjalanannya dan Dikau juga akan memberhentikan dan memusnahkannya nanti. Alam dan isinya ini seluruhnya milikMu, Dikaulah Ya Malik, Ya Waliy Ya Wakil Ya Baari', pemilik mutlak yang mengurus dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa. Daku hamba yang fakir tiada memiliki apa pun, semuanya meminjam dariMu dan pinjaman itu adalah amanahMu yang akan dipersoalkan setiap satunya nanti di hati perhitungan, hari hisab dan di Mahkamah Mu nanti. Oleh itu Ya Allah Ya Nuur Ya Haadi Ya Haq, bimbinglah daku dengan cahaya petunjuk dan cahaya makrifatMu agar daku dapat menggunakan segala milikMu ini di atas jalan redhaMu Ya Rahman Ya Rahim.,“

Aamiin

Monday, May 23, 2016

Sifat Allah Ya Rahim


Mari kita terus mengenali Allah melalui Nama2Nya yang indah . ALLAH Ya Rahim Yang Maha Penyayang. ALLAH penyayang kepada hambaNYA yang beriman. Dengan sayangNYA, DIA memelihara hamba pilihanNYA untuk tetap berada di dalam redhaNYA. Sayang ALLAH akan berakhir dengan balasan syurga di akhirat.

Sifat Ar-Rahim yang ada pada manusia membolehkan manusia mendidik, membimbing untuk membawa manusia lain kepada ALLAH Ya Rahim, menegur sekiranya tersilap, memberikan perhatian dan sokongan di dalam apa yang diperjuangkan.


Menunjukkan sifat Ar-Rahim pada orang yang lalai melalui teguran dan nasihat secara lembut dan bukannya kasar. Orang derhaka dipandang dengan penuh kasih dan bukan pandangan hina.

Mari zikir Ya Rahim 40x

diikuti dengan bicara hati kepada Ya Rahim

“Allahumma Ya Rahim, ya Rahim, ya Rahim, Sesungguhnya Dikau Maha Penyayang, Dikau sentiasa memimpinku di atas jalan kebenaran dan keredhaanMu, walau daku terus terusan tersasar, malas, bertangguh dalam ibadahku kepadaMu, tetapi Dikau terus terus membimbingku kembali ke jalan yang benar agar daku dapat menjejak kaki ke syurgaMu nanti. SayangMu kepadaku tiada lafaz yang sepadan nak ku lafazkan. Walau bagaimanapun diriku ini, Dikau tetap memberi daya kepadaku untuk sujud dan rukuk kepadaMu, lidah ini masih lagi Dikau aturkan menyebut-nyebut namaMu dan membaca kalamMu, kaki ini masih lagi Dikau kurniakan daya untuk melangkah berbakti kepada ummah dan jalan kebaikan dan kebaktian masih terus Dikau buka kepadaku walau seringkali daku mengelengkan kepala tidak mahu melakukan. Seringkali ketika lalai, Dikau mengejutku dgn peristiwa-peristiwa ujian dan musibah agar daku sedar dari kelalaian dan kembali mengingatMu dan mendampingiMu. Terima kasih Ya Rahim kerana masih sayang kepada ku, dan masukkan rasa kasih dan sayang kepadaMu dalam jiwa yang kering ini agar daku sentiasa ingin memujiMu dan mentaatiMu. Jadikan daku ini juga hamba yang suka membimbing orang-orang keliling kami di atas jalan kebaikan dan kebenaran dengan sedikit sifat Ar RahmanMu yang Dikau alirkan dalam jiwaku..Ya Allah Ya Rahim, perjalankan hidupku di atas jalan syurga, iaitu jalan orang-orang yang Dikau kurniakan nikmat ke atas mereka, para Nabi, Rasul, shuhada’, solihin dan siddiqin”. 

Wednesday, May 18, 2016

Sifat Allah Ya Rahman


Mari kita mengenali Allah melalui Nama2Nya yang indah lagi mulia. ALLAH Ya Rahman Yang Maha Pengasih, Pemurah atau Yang Maha Belas Kasihan (rahmat). DIA menaburkan kasih kepada semua makhluq di dunia ini walaupun manusia tidak menyembahNYA dan tidak mengucapkan terima kasih kepadaNYA atau tidak meminta kepadaNYA. Rahmat ALLAH meliputi segala-galanya.

Ar-Rahman adalah vitamin jiwa. Setiap manusiamemerlukan kasih sayang. Kasih sayang mampu melahirkan kekuatan luar biasa. Alirkan kasih sayang Ar-Rahman kepada manusia sekeliling kita, pasti kebahagiaan menunggu kita.


Sedetik pun tidak pernah memperlihatkan perasaan benci. Setiap kata2nya mengeluarkan mutiara2 kasih. Setiap tatapan matanya memancarkan kasih. Gerakan kaki dan tangannya bertujuan menolong atas dasar kasih dan bukan kepentingan diri.

Zikirlah Ya Rahman 40x 

diikuti dengan bicara hati : 

“ALLAHUMMA YA RAHMAN, YA RAHMAN, YA RAHMAN, sesungguhnya Dikau Maha Pemurah, memberiku kurniaanMu tanpa pernah berkira, tidak berhenti2. jantungku terus Dikau degupkan walau ku balasMU dgn dosa, udara terus Dikau masukkan dlm tubuhku walau anggota tubuh ini terus-terusan melakukan perkara yg sia2, penglihatanku masih Dikau kurniakan walau daku terus-terusan melihat perkara yg Dikau murkai, Dikau terus menerus memberiku pendengaran walau sentiasa daku berpaling dan tidak menyahut panggilanMu. Sesungguhnya tiada lafaz syukur yg sepadan dgn sifat maha pemurahMU, dan jadikanku hamba yg bersyukur yg sentiasa menggunakan anggota tubuh, wang ringgit, hartabenda, jawatan dan segala kurniaanMu di atas jln keredhaanMu. Jadikanku juga hamba yg pemurah dgn org2 sekelilingku dgn sedikit sifat ar Rahman yg Engkau alirkan dlm jiwaku. Ya ALLAH Ya Rahman, kurniakanlah kepadaku pelbagai anugerahMU untuk daku hidup sebagai hambaMU dan khalifahMU di dunia ini”. 

Tuesday, May 17, 2016

Surah Al-A'raf ayat 180


Sesungguhnya Asmaul Husna atau nama-nama ALLAH yang baik mempuyai keajaiban yang mampu menghasilkan energi luar biasa yang akan dapat memudahkan urusan kehidupan kita yang beramal dengannya. 

Seperti mana firman ALLAH SWT di dalam surah A'raf ayat 180 " Hanya milik Allah asmaaul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaaul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan". 


Marilah kita sama-sama menghayati dengan sepenuh hati setiap nama-nama ALLAH SWT yang mulia ini dengan memahami, menyakini dan mengimaminya serta mengamalkannya dengan teknik berzikri serta berdoa dengan namaNYA. 

Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata Nabi Muhammad Saw bersabda:
"Sesungguhnya Allah Swt mempunyai 99 nama, yaitu seratus kurang satu, barangsiapa menghitungnya (menghafal seluruhnya) masuklah ia kedalam surga" 
(HR. Bukhari)

#silashare
#sebarkanAsmaulHusna
#99namaALLAH
#teknikAsmaulHusna
#keajaibanAsmaulHusna
 — with Dr. Wan Maseri Wan Mohd.