Labels

Friday, May 4, 2018

Syukur kepadaMu Ya Syakur



Aku melihat hidup orang lain begitu nikmat,
Rupanya Allah Ya Bathin Ya Syakur menutup kekurangannya tanpa perlu berkeluh kesah.

Aku melihat hidup teman-temanku tiada duka dan kepedihan,
Rupanya Allah menutup dukanya dengan perasaan bersyukur kepada Ya Syakur dan Allah Ya Qodir Ya Muqtadir memasukkannya rasa redha.

Aku melihat hidup saudaraku tenang tanpa ujian,
Rupanya Allah Ya Salam memberikan ketenangan baginya untuk menikmati badai hujan dlm kehidupannya.

Aku melihat hidup sahabatku begitu sempurna, hakikatnya hanya Allah Ya Quddus Yang Maha Sempurna. 
Rupanya Allah Ya Mukmin memberikan dia keamanan dan kebahagiaan dengan apa yang dia ada.

Aku melihat hidup jiran tetanggaku sangat beruntung,
Ternyata dia selalu tunduk pada Allah Ya Qahhar dan hatinya bergantung kepada Allah Ya Somad.

Setiap hari aku belajar memahami dan mengamati setiap hidup orang yang aku temui.
Ternyata aku yang kurang mensyukuri nikmat Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Karim.
Bahawa di satu sudut dunia lain masih ada yang belum beruntung memiliki apa yang aku ada saat ini namun mereka dicukupkan oleh Ya Muqit Yang Maha Mencukupkan.

Dan satu hal yang aku ketahui, bahawa Allah Ya Barr Ya Karim Yang Maha Baik tak pernah mengurangkan ketetapan-Nya. Hanya akulah yang masih saja mengkufuri nikmat suratan takdir Ilahi, ampunkan aku Ya ‘Affuw Ya Ghaffar Ya Ghafur kerana hanya Engkau Maha Memaafkan dan Maha Mengampuni hambaMu.
Maka aku merasa tidak perlu iri hati dengan rezeki orang lain kerana aku yakin dengan rezeki Allah Ya Razzaq Ya Karim. Dari lautan biru, bumi dan gunung, Allah telah memerintahkannya menuju kepadaku. Allah menjamin rezekiku, sejak 9 bulan 10 hari aku dalam kandungan ibuku.
Amatlah keliru bila bertawakkal rezeki dimaknai dari hasil bekerja. Kerana bekerja adalah ibadah, sedang rezeki itu urusan Allah Ya Razzaq Ya Ghoni Ya Mughni Yang Maha Memberi Rezeki lagi Maha Kaya dan Maha Memberi Kekayaan.
Melalaikan kebenaran dan gelisah dengan apa yang dijamin-Nya, adalah kekeliruan berganda, maka Ya Allah Ya Nur Ya Haadi Ya Haq kuniakanlah bagiku cahaya petunjuk, hidayah dan kebenaranMu.
Manusia membanting tulang, demi angka simpanan gaji, yang mungkin esok akan ditinggal mati. Mereka lupa bahawa hakikat rezeki bukan apa yang tertulis dalam angka, tapi apa yang telah dinikmatinya. Rezeki bukan pada pekerjaan kita, tetapi Allah Ya Razzaq yang menaruh sekehendak-Nya.

Siti Hajar berulang alik dari Safa ke Marwah, tapi air Zam-zam muncul dari kaki anaknya, Ismail.
Ikhtiar itu perbuatan kerana setiap pergerakan kita adalah anugerah daripada Allah Ya Baarik, rezeki itu pula adalah hadiah Ya Wahhab Ya Karim.
Dan yang tidak boleh dilupakan, setiap hakikat rezeki akan ditanya kelak, "Dari mana dan digunakan untuk apa", pastilah ianya akan dihitung pada hari akhirat nanti oleh Ya Muhsi Ya Hasib Yang Maha Menghitung lagi Maha Menghisab.

Kerana rezeki hanyalah "hak pakai", bukan "hak milik" kerana ianya milik Ya Malik Ya Malikul Mulk pemilik 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi. Kita hanya meminjam setiap apa yang dikurniakan kepada kita.
Halalnya dihisab oleh Ya Hasib dan haramnya diazab oleh Ya Dharru Ya Hakam Ya Muntaqim yang Maha Keras azab siksaanya.
Maka, aku tidak boleh merasa iri pada rezeki orang lain kerana Allah itu Maha Memberi dengan penuh Kasih Sayang, Ya Rauf Ya Karim.
Jujur bila berkata, hayati bila membaca, ikhlas bila menerima, maka Ya Fattah bukalah hijab matahati kami agar kami dapat melihat nama-namaMu, sifat-sifatMu dan daya-dayaMu serta perbuatanMu di sebalik setiap makhluk, alam dan peristiwa hidup kami.

🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹